Hukum mengeluarkan zakat adalah wajib bagi umat Islam yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Namun ia terbahagi kepada beberapa jenis yang perlu dikenalpasti terlebih dahulu supaya tidak tersalah info mengenainya. Semua kategori zakat harta akan dikenakan sebanyak 2.5% daripada jumlah keseluruhan harta.

Antara jenis-jenis zakat harta yang perlu kita semua tahu ialah:
1- Zakat pendapatan
- Zakat pendapatan bermaksud zakat yang perlu dibayar berdasarkan pendapatan individu sekiranya pendapatan mencapai nisab yang ditetapkan oleh pusat zakat mengikut kawasan masing-masing.
- Pengiraan zakat pendapatan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan bersih individu dalam tempoh setahun. Jumlah pendapatan bersih bermaksud pendapatan selepas ditolak perbelanjaan sepanjang tahun. Zakat ini juga dikira selepas menitikberatkan perbelanjaan sebenar yang perlu ditanggung oleh individu.
2- Zakat simpanan
- Zakat simpanan adalah duit yang disimpan oleh individu. Tidak kira samada simpanan ASB (Amanah Saham Bumiputera), deposit tetap, akaun semasa atau apa sahaja bentuk simpanan wang yang ada di dalam bank atau institusi simpanan lain.
- Zakat ini dikira berdasarkan baki terendah simpanan individu dalam tempoh setahun. Baki tersebut mestilah cukup haul (setahun) dan melebihi nisab setelah ditolak faedah atau dividen oleh bank atau institusi simpanan tersebut melainkan akaun simpanan Al-Wadiah.
- Sekiranya seorang individu mempunyai akaun simpanan melebihi satu akaun, mereka hendaklah mengira jumlah baki terendah kesemua akaun simpanan yang ada untuk memastikan pengiraan zakat simpanan yang tepat.
3- Zakat Perniagaan
- Zakat perniagaan semestinya dikenakan kepada individu yang menceburi bidang perniagaan. Terdapat dua klasifikasi bagi zakat perniagaan iaitu:
-Kaedah Modal Berkembang
Kaedah ini berdasarkan ekuiti pemilik melalui entiti perniagaan, sumber kewangan dan untung rugi yang terlibat sepanjang tempoh setahun. Ia mengambil kira keseluruhan bahagian tersebut. Sekiranya mencapai dan melebihi nisab, perniagaan tersebut akan dikenakan zakat.
-Kaedah Modal Kerja
Kaedah kedua pula mengikut nilai aset semasa perniagaan, kewajipan jangka pendek dan pelarasan.
4- Zakat Emas
Zakat emas hendaklah menepati syarat-syarat tersebut :
- Tentukan ‘uruf iaitu nisab (jumlah minimum yang menjadi subjek untuk zakat).
- Cari harga semasa emas per gram.
- Zakat emas dikira dalam dua keadaan iaitu emas yang dipakai dan emas yang disimpan.
- Mestilah emas yang dimiliki oleh wanita sebagai perhiasan.
- Zakat akan dikenakan jika melebihi ‘uruf (nisab) sekiranya emas tersebut digunakan sebagai hiasan.
5- Zakat Perak
- Zakat Perak adalah dibenarkan di dalam Islam. Ia boleh dibayar samada perak yang dipakai dengan tujuan perhiasan atau disimpan sebagai hiasan rumah.
- Nisab bagi zakat perak ialah 595 gram.
6- Zakat Saham
Zakat saham atau pelaburan dikenakan apabila individu terlibat dalam apa jua jenis pelaburan. Pengiraan zakat saham terbahagi kepada dua :
- Sekiranya saham itu dimiliki sehingga habis haul dan mencapai nisab, ia dikenakan 2.5% daripada nilai paling rendah.
- Sekiranya saham tersebut dibeli semasa tempoh haul dan mencapai nisab, ia akan dikenakan 2.5% daripada modal yang diperoleh.
7- Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
- KWSP merupakan potongan wajib bagi setiap pekerja samada awam mahupun swasta. Ia berperanan seperti simpanan buat para pekerja. Konsepnya mungkin sama dengan simpanan tetapi pengeluarannya berbeza kerana tidak semudah pengeluaran akaun simpanan di bank.
- Ia akan dikenakan zakat hanya apabila individu mengeluarkan simpanannya dari KWSP iaitu setelah menjadi milik mereka sepenuhnya setelah usia 55 tahun. Zakat ini akan dikira berdasarkan jumlah yang dikeluarkan.
Semoga perkongsian kali ini memberi satu gambaran jelas buat kita semua dalam menjalankan tanggungjawab mengeluarkan zakat. Jangan sesekali berat untuk menunaikan kewajipan kerana ia merupakan perintah dari yang Maha Esa.